Thursday, June 2, 2011

K-Town Ep. 2: Mak Cik Ni dan Pak Cik Itu

Shamsul cuba menghidupkan motornya. Malangnya, motornya tidak dapat diselamatkan.

Dia menolak motornya ke tepi jalan dan cuba lagi untuk menghidupkan enjin. 12 minit berlalu, Shamsul masih lagi tidak berputus asa.

"Nak pak cik tolong ke, nak?" tanya suara dari belakang Shamsul.

Shamsul menoleh ke belakang. Seorang pak cik dalam lingkungan 50 tahun sedang mengayuh basikal ke arahnya dan berhenti. Basikalnya fixie berwarna hijau.

"Pak Cik ada telefon tak? Saya nak cari kawan saya ni. Tadi kitorang eksiden. Saya bawak motor laju-laju tadi lepas tu terlanggar trafik lait. Saya terpengsan. Bangun je, motor saya rosak, enjin semua sana sini, kawan saya hilang. Boleh tak, pak cik?" tanya Shamsul.

"Apa soalan kamu tadi? Kamu cakap banyak sangat, pak cik terlupa soalan kamu."

"Pinjam telefon, pak cik."

"Maaf, nak. Pak cik dah jual iPhone 4 pakcik sebab nak beli basikal ni. Meh ikut pak cik balik rumah. Pakai telefon rumah."

"Kaki saya sakit lah, pak cik. Saya tak larat nak jalan."

"Meh ler. Rumah pak cik dekat je."

Pak cik itu menolak basikalnya supaya Shamsul yang jalan pelan-pelan itu tidak ketinggalan.

"Rumah pak cik dekat man--"

"Dah sampai dah."

Shamsul tidak pernah perasan yang di lampu trafik itu ada sebuah rumah papan yang kecil. Rumah itu diselubungi dengan pokok-pokok dan cahaya malap yang datang dari rumah itu adalah cahaya pelita. Tiada elektrik. Macam mana nak buat panggilan telefon?

"Sila masuk." kata pak cik itu sambil mengunci basikal fixienya ke sebatang pokok kelapa.

Shamsul menanggalkan selipar Asadinya yang tahan lasak lalu masuk rumah pak cik itu.

"Itu isteri pak cik." kata pak cik itu sambil menuding jari ke arah sofa. Terdapat seorang wanita tua sedang baring di atas sofa itu. Shamsul memberi salam. Tiada jawapan. Dia memberi salam lagi. Tiada jawapan. Dia memberi salam lagi, kali ini dijawab oleh pak cik itu.

"Kenapa kamu bagi salam tiga kali dekat aku?" tanya pak cik Itu.

"Mak cik ni tengah tidur ke, pak cik?" tanya Shamsul.

"Siapa kamu?" tanya mak cik Ni. "Siapa kamu bawak tu, Tu?"

"Ni ha, ada mamat ni, Tu jumpa dekat trafik lait kat situ tu. Tu ambik la dia, bawak dia sini, Ni. Eksiden budak ni, Ni." kata Pak Cik Itu.

"Ni ha, biar Ni tengok. Meh sini, dekat Ni. Ni dulu kerja nurse." kata Mak Cik Ni.

"Uh, maaf. Saya tak faham sangat." kata Shamsul dengan keliru.

"Nama pak cik itu, Itu. Nama mak cik ni, Ni. Itu dan Ni. Faham? Kamu tak sekolah ke dulu?" kata Mak Cik Ni. Pak Cik Itu pergi masuk ke dalam bilik tidur untuk tengok TV.

"Oh, okay." angguk Shamsul. "Kaki saya sakit, mak cik, tapi saya okay. Saya nak telefon kawan saya je."

"Biar Mak Cik Ni tolong Nak. Kita tak ada telefon rumah. Saya punya henpon pulak dah kena bar." kata Mak Cik Ni, mengeluarkan telefon bimbit BlackBerry Torch 9800. "Dua bulan tak bayar bil."

"Alamak. Ada telefon awam tak dekat-dekat dengan sini?" tanya Shamsul.

"Ada. Tapi jauh jugak la." kata Mak Cik Ni.

Shamsul agak sedih. Bahunya dijamah Mak Cik Ni "Sabar lah, Nak. Mak Cik Ni akan tolong cari kawan kamu."

"Terima kasih, Mak Cik. Saya--"

"Ni!" panggil Pak Cik Itu "Ni, Man vs. Wild dah nak mula dah ni! Dia datang Malaysia ni ha! Hutan Sabah!"

"Semoga berjayalah, Nak." kata Mak Cik Ni terus berlari masuk bilik tidurnya. "Kuat la sikit volumenya! Dah beli SONY home surround sound system tapi takut nak pasang kuat-kuat apekehei?!"

"Ish, sabor ler!" kata Pak Cik Itu.

Shamsul keliru. Dia tak tahu nak buat apa. Hanya tinggal dia seorang di ruang tamu rumah yang gelap itu. Dia berjalan ke bilik tidur mereka. Pak Cik Itu dan Mak Cik Ni sedang makan muruku sambil menonton Man vs. Wild di televisyen plasma mereka. Shamsul tidak mahu mengacau.

Shamsul berjalan ke luar rumah mereka dengan niat nak mencari telefon awam. Dia menyarung selipar Asadinya itu.

"Abang..." terdengar satu suara halus. Suara seperti perempuan muda. Shamsul mencari dari mana datangnya suara itu.

"Abang... sini, abang." kata suara itu, teresak-esak.

Shamsul tengok di bawah serambi rumah papan itu. Seorang perempuan muda mungkin berumur 17 tahun. Panjang rambutnya. Bogel. Menangis.

"Tolong, Abang... Tolong..." pinta gadis itu.

"Nak ke mana ni, Nak?" tanya Mak Cik Ni yang sedang berdiri di belakang Shamsul memegang sebilah parang.

BERSAMBUNG...

4 comments:

una berry said...

oh my..bersambung lagi

cikbunga said...

sambung cepat...kata makcik ni

aishahmazlan said...

kata takde letrik.cmne leh tgk tv?

Hadi said...

una, tu la pasal....

cikbunga, baik, puan.

aishahmazlan, kalau tak ada elektrik, macam mana diorang nak charge phone mahal diorang? haaa.... (contradict diri sendiri)